Friday, 27 December 2013

Sejarah Sate Ikan Kak Yoh (Bukit Berangan)

Sate Ikan Kak Yoh di Terengganu atau dahulunya lebih dikenali sebagai Sate Ikan Pak Din pada mulanya telah bertapak di Kampung Sireh, Kota Bharu, Kelantan sejak awal 1980-an lagi. Ketika itu penduduk Kelantan sendiri pun belum mengenali apa itu sate ikan atau juga dikenali sebagai lokching.

Pak Din

Kak Yoh



Pengusaha / pemilik sate ikan (Arwah - Shamsuddin Bin Mat Hassan) yang dikenali sebagai Pak Din dan isteri  Rokiah Mohamed (Kak Yoh) pada mulanya telah memulakan operasi pembuatan sate ikan di Kota Bharu bersama ahli keluarga yang lain. Ketika itu, penduduk di sana tidak berani untuk membeli dan memakan sate ikan berkenaan kerana was-was dan takut untuk mencuba "makanan baru" yang belum pernah dilihat sebelum itu.

Berbagai tohmahan dan ejekan yang terpaksa ditanggung oleh Pak Din pada ketika itu sehingga ada yang mengatakan sate ikan Pak Din diperbuat dari katak dan tak kurang juga ada yang mengatakan ia diperbuat dari kucing ataupun biawak. Namun dengan usaha yang gigih, arwah dan keluarga tidak berputus asa dan berazam untuk mengembangkan perniagaan ini sehingga berjaya. Pada mulanya, sebagai langkah pengenalan, arwah telah mempromosikan sate ikan ini dengan cara memberikannya secara percuma kepada pembeli di sekitar bandar Kota Bharu. Setelah itu, barulah sate ikan ini kian dikenali sehingga boleh dikatakan diseluruh semenanjung Malaysia.

Pada tahun 1985, arwah Pak Din dan Kak Yoh telah berpindah dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu. Arwah dan keluarga telah menetap di Kuala Ibai, Kuala Terengganu sejak tahun 1986 hingga ke tahun 1996. Dan akhirnya berpindah ke Kampung Bukit Berangan, Tepoh, Kuala Terengganu pada tahun 1997 hingga ke hari ini. Arwah telah kembali ke rahmatullah pada tahun Jun 2008 dan perniagaan diteruskan oleh isteri yang kini dikenali dengan Sate Ikan Kak Yoh.

Pengusahaan sate ikan ini bukan hanya dijalankan oleh Pak Din seorang, malahan resepi ini turut dikongsi bersama ahli keluarga yang lain.Antara ahli keluarga Pak Din / Kak Yoh yang bergerak aktif dalam perusahaan sate ikan ini antaranya adalah :

- (Arwah) Pak cik Mohamed (bapa kepada Kak Yoh) Durian Burung, Kuala Terengganu
- Mek Som (Kakak sulung kepada Kak Yoh) di Dungun
- Mohd Rashid (abang kepada Kak Yoh) yang juga dikenali dengan Sate Ikan Kak Ning (Bukit Berangan + Chendering)
- Midah (adik bongsu kepada Kak Yoh) yang juga dikenali dengan Sate Ikan Pok Mat di Kemaman
- Hassan (abang kepada Kak Ning) di Permatang Badak, Kuantan
- Mamat (anak saudara kepada Kak Yoh) di Jalan Kamarudin, Kuala Terengganu
- Khatijah (anak saudara kepada Kak Yoh) di Bukit Payong, Terengganu
- Ust Suhaimi (anak kepada Kak Yoh) di Manir, Kuala Terengganu

Perjalanan Sate Ikan Kak Yoh tidak akan berhenti di sini sahaja. Perusahaan ini akan diteruskan oleh anak-anak secara turun temurun dan bakal dikembangkan lagi ke pasaran yang lebih luas lagi Insha-Allah.


.

No comments:

Post a Comment